Tuesday, October 30, 2012

HALATUJU KEJAYAAN PASUKAN HOKI & RAGBI SEKOLAH



            Pasukan hoki SK Wangsa Maju Zon R10 merupakan sebuah pasukan hoki yang banyak melahirkan bakat-bakat baru dalam sukan hoki di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sejak 2006 pasukan hoki R10 banyak menempa kejayaan di peringkat Zon Keramat, peringkat negeri dan juga dalam kejohanan luar yang dianjurkan oleh Persatuan Hoki Kuala Lumpur serta dalam kejohanan di peringkat antarabangsa.

            Dengan berkat kesungguhan para guru, jurulatih, ibubapa serta pihak petadbir sekolah, sejak itu pasukan hoki R10 amat digeruni di peringkat zon dan juga negeri. Antara pencapaian terbaik yang pernah dicapai oleh pasukan hoki lelaki R10 ialah merangkul johan zon keramat selama  tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2010 hingga 2012. Manakala di peringkat negeri, pada tahun 2010 pasukan hoki lelaki R10 berjaya menjadi johan negeri buat kali pertama dan pada tahun ini iaitu 2012 sekali lagi pasukan hoki berjaya menjadi johan. Pencapaian paling bermakna ialah pada tahun 2010, kali pertama pasukan hoki lelaki R10 merangkul tempat ketiga dalam kejohanan hoki yang bertaraf antarabangsa iaitu dalam Pesta Hoki Antarabangsa USM-Penang 2010. Kejayaan ini amat dibanggakan kerana, satu-satunya pasukan hoki yang bertanding atas nama sekolah dari Kuala Lumpur berjaya merangkul tempat ketiga.  

            Selain daripada kejayaan dalam sukan hoki, R10 juga terkenal dengan sukan ragbi. Pasukan ragbi R10 pernah dinobatkan Naib Johan Kuala Lumpur pada tahun 2008 dan 2009. Di mana pihak sekolah melihat akan potensi ini, R10 pernah menganjurkan kejohanan ragbi R10 Tiger's Seven pada tahun 2009-2010. Semenjak daripada itu, pasukan ragbi dan hoki R10 terkenal dengan jolokan R10 Tigers. Kerjasama R10 dengan SM Sains Selangor dalam memperkenalkan sukan ragbi terhasil, di mana ada di antara pemain ragbi R10 terpilih untuk mewakili pasukan negeri dan diserap ke SM Sains Selangor.

            Melihatkan kepada masa depan murid dalam sukan, pasukan hoki dan ragbi berpegang kepada prinsip "Kejayaan dalam sukan mestilah sering dengan kejayaan dalam akademik" merupakan intipati utama yang mesti dipatuhi oleh setiap pemain sejak 2008. Di mana bersandarkan kepada prinsip ini ramai pemain ragbi dan hoki R10 baik lelaki atau perempuan berjaya dalam akademik. Ada di antaranya mereka sekarang sedang menuntut di Maktab Tentera Diraja, Kolej Melayu Kuala Kangsar, MRSM, Sek Men Sains Selangor, Sek Men Sains Alam Shah, Sek Dato Abdul Razak ( SDAR) Seremban dan lain-lain lagi. Tidak kurang juga ada yang menruskan pelajaran di Victoria Institution, Sek Men Sek 5 dan SMKA Segambut Jaya. Ada juga di antara mereka diberi peluang meneruskan minat dalam sukan hoki di Sek Sukan Negeri Titiwangsa dan juga Sek Sukan Tengku Muhammad Ismail.

            Kejayaan pasukan hoki terutamanya bukanlah satu jalan yang mudah. Pengorbanan masa dan usaha yang gigih selama ini telah membuahkan hasil yang boleh dibanggakan. Sudah tentu, setiap perancangan yang dirancang tidak semuanya berjalan seperti yang dirancang. Pelaburan wang ringgit yang dilakukan oleh pihak sekolah dalam menyediakan kemudahan peralatan yang secukupnya, sewaan bas untuk latihan, serta sewaan stadium yang semuanya memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Namun, dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh para pemain dan ibubapa yang banyak memberikan sokongan, ternyata amat memberangsangkan.
   
            Melihat akan potensi ini, maka tidaklah menjadi halangan kepada murid untuk aktif dalam sukan. Kesinambungan dan kerjasama di antara pihak sekolah, guru dan juga ibubapa perlu dipereratkan bagi menjamin murid berjaya dalam kedua-dua bidang sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

            Untuk membina sebuah pasukan di peringkat sekolah yang mampu memberikan cabaran dalam sukan yang dianjurkan di peringkat Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran mahupun di peringkat Kementerian perlu ada pengukuhan di peringkat akar umbi yang kuat. Memetik kata-kata Y.A.B Dato Seri Mohd Najib B Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, beliau berkata "Untuk membina kejayaan yang seperti berada dihujung piramid, perlu ada landasan dan dasar yang luas dan kuat". Oleh yang demikian, guru, jurulatih dan pihak pentadbir telah memberikan peluang kepada semua murid dalam memgembangkan bakat masing-masing dalam sukan. Terpulang kepada pihak ibubapa dalam membantu menanamkan semangat yang jitu dalam diri anak masing-masing bagi membolehkan murid berkenaan menunjukkan bakat yang mungkin tidak terlihat dalam mata kasar.

No comments: